Bank Negara Unjur Pertumbuhan Ekonomi Pada 2022 Antara 5.3 hingga 6.3 Peratus

    Sumber Foto: Wikipedia


EKONOMI | Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2022 di antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus kata Gabenornya.


Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata unjuran itu disokong permintaan dalam negeri lebih kukuh, permintaan luaran terus berkembang dan pasaran pekerja terus bertambah baik.


Katanya, pertumbuhan juga menerima manfaat daripada pelonggaran sekatan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pelaksanaan projek pelaburan.


"Ekonomi dalam negeri dijangka terus bertambah baik tahun 2022, dengan pertumbuhan diunjurkan antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus seperti diumumkan pada Mac 2022.



"Bagaimanapun, risiko terhadap momentum pertumbuhan Malaysia masih wujud. Risiko ini termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meruncing, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk, perkembangan buruk berhubung d COVID-19 dan ketidaktentuan pasaran kewangan yang meningkat," katanya.


Berikut adalah kenyataan media penuh Bank Negara


Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Pertama Tahun 2022


Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.0% pada suku pertama (S4 2021: 3.6%)


Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.0% pada suku pertama tahun 2022 (S4 2021: 3.6%). Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik apabila kegiatan ekonomi terus kembali normal dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan. 


Keadaan yang bertambah baik ini juga mencerminkan pemulihan pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 4.1% (S4 2021: 4.3%), di samping sokongan dasar yang berterusan. Permintaan luaran yang kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan juga memberikan sokongan selanjutnya kepada pertumbuhan. 


Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan ekonomi dengan masing-masing berkembang sebanyak 6.5% dan 6.6%. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 3.9% (S4 2021: 4.6%).


Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.2% pada suku pertama (S4 2021: 3.2%). Hal ini mencerminkan terutamanya sumbangan yang lebih kecil daripada kesan asas yang luput daripada harga bahan api runcit yang lebih rendah tahun lalu, dan ketiadaan kesan asas daripada rebat tarif elektrik yang dilaksanakan pada tahun 2020. 


Inflasi teras meningkat kepada 1.7% pada suku itu (S4 2021: 0.8%). Hal ini mencerminkan pelarasan harga berikutan kos yang lebih tinggi serta keadaan permintaan yang bertambah baik, dengan kenaikan harga yang lebih ketara khususnya bagi item makanan disebabkan oleh faktor berkaitan bekalan seperti harga komoditi global yang lebih tinggi.


Perkembangan kadar pertukaran


Nilai ringgit menurun sebanyak 0.7% berbanding dengan dolar AS pada suku pertama tahun 2022 (keseluruhan tahun setakat 11 Mei 2022: -4.7%). Secara umumnya, penurunan ini adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau (S1 2022: -0.8%; keseluruhan tahun: -3.4%). 


Hal ini disebabkan oleh kekukuhan dolar AS secara keseluruhan yang didorong oleh kadar faedah yang lebih tinggi di AS, sentimen penghindaran risiko global berikutan konflik di Ukraine dan jangkaan pertumbuhan yang sederhana di China. 


Harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan Malaysia juga telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit daripada kesemua faktor luaran ini. 


Pada masa hadapan, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat dibendung meskipun pasaran kewangan domestik bergantung pada beberapa tempoh volatiliti yang tinggi. Kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang berdaya tahan membolehkan ekonomi berhadapan dengan kejutan luaran.


Keadaan pembiayaan


Pembiayaan bersih kepada sektor swasta berkembang sebanyak 4.5% (S4 2021: 4.7%) dalam keadaan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang lebih rendah (4.6%; S4 2021: 5.4%). 

Pertumbuhan pinjaman terkumpul mampan pada 4.4%. Pertumbuhan pinjaman perniagaan menjadi sederhana kepada 4.3% (S4 2021: 4.8%), mencerminkan pertumbuhan pinjaman modal kerja terkumpul yang lebih rendah dalam keadaan pertumbuhan bayaran balik pinjaman yang terus tinggi. Walau bagaimanapun, pertumbuhan pengeluaran pinjaman modal kerja kekal kukuh pada suku pertama (21.2%; S4 2021: 32.8%) sejajar dengan pemulihan kegiatan ekonomi. 

Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat merentas kebanyakan tujuan (4.8%; S4 2021: 4.2%), dengan pertumbuhan yang mantap dalam pengeluaran pinjaman (12.7%; S4 2021: 9.5%). 


Hal ini mencerminkan permintaan yang berterusan untuk pinjaman dalam kalangan isi rumah, terutamanya bagi pembelian rumah dan kereta. Daya tahan isi rumah terus disokong oleh keupayaan membayar hutang yang teguh dan penampan kewangan yang utuh pada peringkat agregat, dengan pemberian pinjaman disokong oleh standard pengunderaitan yang berhemat dan penilaian kemampuan peminjam mengambil pinjaman oleh bank-bank.


Ekonomi Malaysia dijangka terus bertambah baik pada tahun 2022


Mengulas tentang prospek tahun 2022, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah berkata, “Ekonomi dalam negeri dijangka terus bertambah baik tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan antara 5.3% hingga 6.3% seperti yang diumumkan pada bulan Mac 2022. Unjuran ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh, permintaan luaran yang terus berkembang dan pasaran pekerja yang terus bertambah baik. 


Pertumbuhan juga akan menerima manfaat daripada pelonggaran sekatan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pelaksanaan projek pelaburan.” Walau bagaimanapun, risiko terhadap momentum pertumbuhan Malaysia masih wujud. 


Risiko ini termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meruncing, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk,  perkembangan buruk berhubung dengan COVID-19 dan volatiliti pasaran kewangan yang meningkat.


Bagi tahun 2022, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 2.2% hingga 3.2% dalam persekitaran kos input yang tinggi dan permintaan yang bertambah baik. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, juga dijangka meningkat pada tahun ini dengan mencatatkan purata antara 2.0% hingga 3.0%. 


Beberapa faktor penting dijangka membendung sebahagian daripada tekanan harga menaik, iaitu langkah-langkah kawalan harga yang sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. 


Meskipun begitu, prospek inflasi terus bergantung pada perkembangan harga komoditi, yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan. Prospek ini juga bergantung pada langkah-langkah dasar dalam negeri berhubung dengan harga yang ditadbir.

Comments

Popular posts from this blog

Penganalisis Jangka Ekonomi Besar Dunia Meleset Pada 2023

Lonjakan Harga Gandum Cetus Krisis Kekurangan Makanan